SATU Web Mail
SATUintra Portal
Album
Tender
Berita
Korporat
     
Bisnes
     
SATU Online
     
Water Links
     
Water World
     

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN TALIAN ADUAN SATU 1-300-88-2111


Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Tuan Haji Husain bin Embong (kedua dari kiri) Ghazali Omar (kedua dari kanan) bertukar dokumen dengan disaksikan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said (tengah) Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail, Pegawai Kewangan Negeri (kiri) dan Bernard Chin, Naib Presiden, Business Process Outsourcing (BPO) VADS (kanan).

22hb September 2011 - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah melancarkan TALIAN ADUAN SATU 1-300-88-2111 hasil kerjasama dengan VADS Berhad (VADS), rakan penyumberan luar pusat panggilan pelanggan yang terkemuka di Malaysia. Majlis yang berlangsung di Riyaz Heritage Marina & Spa, Pulau Duyung telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu. Penyempurnaan majlis berkenaan telah diiringi oleh Tuan Haji Husain bin Embong, Ketua Pegawai Eksekutif SATU dan Ghazali Omar, Ketua Pegawai Eksekutif VADS.

Talian Aduan 1-300-88-2111 ini beroperasi aelama 12 jam bermula jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari. Dalam ucapan aluan Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Tuan Haji Husain bin Embong berkata, “Pengguna-pengguna adalah dialu-alukan untuk menghubungi talian ini bagi mengemukakan masalah bekalan air mereka atau untuk memaklumkan berkenaan kebocoran paip atau paip pecah. Menurut beliau lagi, pengguna tetap dapat membuat panggilan walaupun selepas pukul 8 malam di mana ianya akan diterima dan dijawab oleh staf SATU yang sediada”. Beliau menambah panggilan aduan ini adalah salah satu strategi SATU untuk menangani isu-isu non revenue water kerana pengguna boleh melaporkan terus kepada pihak SATU sekiranya pengguna-pengguna terjumpa kebocoran paip-paip SATU.

Dalam majlis yang sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said berkata, ”Sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, saya amat berharap pihak pengurusan SATU sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi kakitangan serta mutu perkhidmatan bagi memastikan pengguna air di Negeri ini mendapat perkhidmatan yang terbaik”. Mengulas lanjut mengenai talian aduan SATU ini, Dato’ Seri Haji Ahmad menjelaskan, “Saya yakin usaha pihak pengurusan SATU memperkenalkan talian aduan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh Negeri Terengganu. Salah satu isu utama yang dihadapi oleh SATU ialah berkaitan isu non revenue water (NRW) yang masih tinggi. Pada tahun 2010, kadar NRW Negeri Terengganu ialah sebanyak 39.39% dan saya telah mengarahkan SATU untuk mencapai 35% pada tahun 2011. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.7 juta bagi menggantikan paip-paip yang mengalami kebocoran yang kritikal. Sehingga Julai 2011, kadar NRW Negeri Terengganu telah menurun kepada 37.35%.”

“Namun demikian, isu NRW juga adalah menjadi tanggungjawab pengguna dan masyarakat. Pengguna atau masyarakat boleh melaporkan kebocoran paip atau limpahan tangki atau sebarang perkhidmatan yang ditawarkan oleh SATU kepada talian ini. Saya menyeru kepada semua pihak supaya lebih sensitif dengan perkara ini dan membantu pihak pengurusan SATU dalam menangani perkara ini. Setiap lapisan masyarakat perlu memberi kerjasama kerana matlamat akhir program ini adalah kepada rakyat,” tambah beliau lagi.

Talian Aduan SATU telahpun beroperasi sepenuhnya daripada pukul 8.00 pagi hingga jam 8.00 malam. Setakat ini pusat panggilan tersebut menerima lebih kurang 2,500 panggilan sebulan dari pelanggan SATU di seluruh Terengganu. – Sumber daripada TM.

 

>>> Galeri foto

Trg 1M MyGov MAMPU JOB PAAB SPAN MWA Kettha