SATU Web Mail
SATUintra Portal
Album
Tender
Berita
Korporat
     
Bisnes
     
SATU Online
     
Water Links
     
Water World
     

KESAN MUSIM KEMARAU

Operasi perbekalan air bagi Daerah Kuala Terengganu adalah daipada 2 buah loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Kepong dan Loji Rawatan Air Losong. Paras pengeluaran semasa bagi penggunaan Daerah Kuala Terengganu dan Marang adalah sebanyak 241 juta liter sehari. Loji Rawatan Air Losong mengeluarkan air sebanyak 33.20 juta liter sehari. Loji-loji ini beroperasi 24 jam sehari tanpa henti bagi memastikan bekalan air diterima oleh pengguna dengan selesa. Jika berlaku sebarang gangguan kepada pengoperasian kedua-dua loji ini ianya boleh menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna kerana tangki-tangki perkhidmatan yang sedia ada tidak mampu menampung penggunaan melebihi 2 jam.

Musim kemarau yang berpanjangan yang sedang melanda Negeri Terengganu sekarang boleh menyebabkan berlaku intrusion air masin ke mukasauk (water intake) loji-loji rawatan air kerana paras air sungai lebih rendah daripada paras air laut. Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menyatakan bahawa Monsun Barat Daya iaitu musim kering bermula pada pertengahan Mei 2014 akan berterusan sehingga September 2014. Malah, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) menyatakan bahawa fenomena El Nino ini boleh berlanjutan sehingga 6 hingga 18 bulan.

Kesan fenomena ini telah dirasakan di daerah Daerah Kuala Terengganu. Paras air pasang yang tinggi telah menyebabkan berlaku intrusion air masin ke mukasauk Loji Rawatan Air Losong, Kuala Terengganu. Dalam keadaan normal bacaan paras kepekatan garam dalam kualiti air mentah adalah berada di bawah 50 ppm (part per million). Namun demikian, pada ketika tertentu khususnya pada paras air pasang besar, paras bacaan kualiti air mentah menjangkau paras maksima 2,500 ppm.

Ini telah menyebabkan air yang dirawat dan dibekalkan kepada pengguna akan merasa payau dan tidak selesa digunakan. Mengikut piawaian antarabangsa dan Kementerian Kesihatan, apabila paras bacaan kepekatan garam dalam kualiti air mentah melebihi 250 ppm, proses rawatan air perlu dihentikan. Namun demikian, SATU masih meneruskan operasi loji ini bagi memastikan bekalan air dapat diterima oleh pengguna secara berterusan, walaupun rasa yang tidak selesa. Bekalan air dari Loji Rawatan Air Losong disalurkan kepada hampir 200,000 orang pengguna. Kawasan-kawasan liputan bekalannya adalah Kg. Losong, Kg. Durian Burung, Kg. Paloh, Kg Pulau Rusa, Kg. Kuala Bekah, Kg. Sungai Rengas, Kg. Kubang Tangga, dan Kg. Kubang Parit. Pengguna-pengguna di kawasan ini akan akan menerima bekalan air yang rasanya payau. Ini bermakna, jika operasi loji ini dihentikan, maka gangguan bekalan air akan berlaku di kawasan yang terlibat dan bekalan air secara tangki sukar dilakukan kerana kawasan liputannya yang besar.

Namun demikian, air ini masih boleh digunakan untuk aktiviti harian lain selain daripada minuman. Aspek-aspek lain dalam kualiti air terawat yang dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti paras klorin, e-coli, kekeruhan dan aluminium masih kekal normal dan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Pihak SATU sentiasa berusaha dan sedang memantau secara rapi perkara ini dan proses rawatan air dikurangkan pada paras kepekatan garam dalam air mentah yang tinggi. Rundingan juga sedang dibuat dengan Stesen Janakuasa Elektrik TNB Tasik Kenyir untuk melepaskan kuantiti air lebih banyak bagi menyeimbangkan paras kepekatan garam kualiti air mentah di mukasauk. Namun perkara ini agak sukar dilakukan kerana ianya bergantung kepada pengoperasian empangan dan penjanaan tenaga oleh TNB.

SATU tidak boleh menentukan atau menjangkakan tempoh ketidakselesaan pengguna ini kerana ianya adalah di luar kawalan pihak SATU dan bergantung kepada faktor cuaca.

Manakala operasi perbekalan air di daerah-daerah lain masih stabil dan berjalan seperti biasa samada dari segi kuantiti dan kualiti air yang dibekalkan. Hanya bekalan air dari Loji Rawatan Air Losong sahaja yang menghadapi masalah ini.

Sehubungan dengan ini, SATU menasihati pengguna menggunakan air secara lebih berhemah dan lebih berhati-hati menggunakan air untuk minuman. Perkara ini berlaku diluar kawalan SATU dan kami sedang mengambil langkah yang perlu bagi meminimakan ketidakselesaan pengguna. HAJI HUSAIN BIN EMBONG Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU)

 

HAJI HUSAIN BIN EMBONG
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd

Trg 1M MyGov MAMPU JOB PAAB SPAN MWA Kettha