|
SPAN: PENYERAGAMAN DALAM KAEDAH PERBEKALAN AIR DAN PENGENAAN FEE, CAJ DAN DEPOSIT YANG BERSAMPINGAN DENGANNYA

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Y. Bhg. Tuan Haji Husain bin Embong sedang menyampaikan ucapan aluan sempena program taklimat berkaitan dengan perkhidmatan air.
12 Oktober 2011 (Rabu) – Berlangsung di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman baru-baru ini, satu taklimat berkenaan Penyeragaman Dalam Kaedah Perbekalan Air dan Pengenaan Fee, Caj dan Deposit Perkhidmatan Air telah diadakan. Taklimat telah disampaikan oleh wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) daripada Ibupejabat iaitu Ir.Muhamad Sobri bin Zakaria, Ketua Bahagian Standard Teknikal dan Pematuhan bersama-sama dengan wakil SPAN Wilayah Timur, En. Zaidi bin Ahmad, Eksekutif Standard Teknikal dan Pematuhan.
Perasmian taklimat ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Y.Bhg. Tuan Haji Husain bin Embong. Dalam ucapan aluannya, beliau telah mengesahkan bahawa perkara-perkara yang akan diberi taklimat ini telah dipersetujui untuk diterima pakai oleh semua operator-operator air Semenanjung Malaysia di dalam Mesyuarat Bersama SPAN baru-baru ini. Perkara-perkara berkenaan telah mendapat maklumbalas yang baik daripada pihak NGOs dan pihak-pihak yang sepatutnya sebelum perkara-perkara ini diperkenalkan untuk diseragamkan. Ianya telah melibatkan penelitian dan kajian yang panjang oleh pihak SPAN bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti perkhidmatan pelanggan. Beliau juga menambah, “Selama ini, SATU tidak pernah mengenakan apa-apa caj kepada pengguna atau pelanggan. Kebanyakannya adalah percuma walaupun ianya melibatkan majlis-majlis yang besar”. Beliau juga memaklumkan bahawa pengenaan caj ini bukan bermaksud untuk mencari pendapatan tetapi ianya adalah untuk menjamin bekalan air sentiasa ada dan keselesaan kepada pengguna. Dalam ucapannya juga, beliau mendakwa SATU seringkali dipersalahkan jika sekiranya ketiadaan bekalan air walaupun ianya merupakan kesalahan yang dibuat oleh pihak pemaju perumahan yang sepatutnya membina tangki air simpanan sebaliknya hanya membuat penyambungan daripada paip utama.
Di dalam taklimat berkenaan, pihak SPAN memaklumkan bahawa objektif utama diadakan taklimat adalah untuk:
1) Menyeragamkan kaedah, amalan serta spesifikasi teknikal yang berbeza di negeri-negeri
2) Menetapkan standard rekabentuk minimum bagi sesuatu sistem bekalan air
3) Mengelakkan pembaziran air, pencemaran dan mengurangkan penggunaan tenaga
Secara keseluruhan, ianya adalah untuk memastikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan dan berdaya harap bagi memastikan keselesaan dan kepuasan pihak pengguna. Antara perkara-perkara yang akan dikuatkuasakan adalah sepertimana berikut:
1) Retikulasi Air dan Pemasangan Paip (Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air 2011)
2) Deposit, Fee dan Caj Perkhidmatan Air (Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air 2011)
3) Retikulasi Air dan Pemasangan Paip (Garis Panduan Teknikal Seragam 2011)
>>> Galeri foto
|