|
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SYARIKAT AIR TERENGGANU SDN BHD BAGI TAHUN 1433H

Para peserta bangun berselawat ke atas Junjugan Besar Nabi Muhammad S.AW
Februari 20 – Bagi memperingati ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W pada setiap 12 Rabiulawal setiap tahun, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengadakan satu majlis Maulidur Rasul yang bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman di sebelah ibupejabat SATU. Jemputan adalah terdiri daripada semua staf Ibupejabat dan daerah. Majlis yang bermula pada jam 10 pagi dimulai dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Che Zakaria bin Salleh.
Dalam ucapan aluan majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Tuan Haji Husain bin Embong, mengulas berkenaan keperibadian dan sifat mulia Nabi Muhammad S.A.W yang perlu dicontohi oleh semua sebagai lanjutan diadakan majlis Maulidur Rasul ini.
Majlis juga turut menjemput penceramah luar iaitu Yang Dihormati Dr. Manam bin Mohamad daripada Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu. Beliau dijemput untuk memberi ceramah berkaitan dengan Kelahiran Rasulullah S.A.W. yang membawa Keberkatan dan Kemuliaan.
Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Sirah Rasulullah oleh Encik Mohd Rashid bin Ali yang memimpin seramai 30 orang staf SATU dan diserikan lagi dengan bacaan selawat beramai-ramai oleh semua hadirin.










|