Media SATU

SATU Majlis Sambutan Jubli Perak
Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) buat julung kalinya hari ini meraikan Majlis Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pengkorporatan yang bertempat di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Turut hadir sama adalah Yang Berhormat Dato Haji Mohd Nor Bin Hamzah, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia,Tengku Sri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Tuan Haji Hanafiah Bin Mat Pengerusi Jawatankuasa Infrastuktur,Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar serta Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Lembaga Pengarah serta Ketua- Ketua Jabatan Negeri.
Bersempena dengan 25 tahun sambutan Jubli Perak, SATU turut menampilkan pelbagai program menarik antaranya adalah pembukaan 10 buah reruai yang setiap satunya mewakili jabatan operasi di SATU serta lawatan khas para penuntut IPTA dan para pelajar sekolah untuk meninjau proses rawatan air di LRA Bukit Berapit yang akan diadakan hari Khamis ini.
Majlis Sambutan Jubli Perak yang berlangsung hari ini turut meraikan seramai 41 penuntut IPTA di Terengganu, 40 orang pelajar sekolah serta seramai 200 orang warga kerja SATU dengan sebahagiannya merupakan tenaga kerja SATU yang telah berkhidmat selama 25 tahun.








